Sudi-Sudi Ikut Saya...

Khamis, 25 Ogos 2011

ALMOND LONDON

Selalu time raya, biskut ni memang menjadi pilihan di rumah saya. Budak-budak pun kalau ada spesis biskut ni atas meja, yang ni lah yang dituju dulu. Agaknya salutan coklat tu yang buat ia nampak menarik.

Almond London resepi Azlita Masam Manis ni pun sangat menarik kejadiannya. Biskutnya rapuh dan sedap. Tak macam resepi yang saya gunakan sebelum ni,  biskutnya jadi gebu dan berderai.

So, resepi ni bolehlah tersenarai dalam list biskut raya tahun-tahun akan datang. Sapa yang nak resepi tengok kat bawah.


ALMOND LONDON
Sumber : Azlita Masam Manis  
(Anggaran dalam 120 - 150 biji)


Bahan-Bahannya
250 gm butter
450 gm tepung gandum
2 sudu kecil emplex
140 gm gula icing
2 biji kuning telur
1 sudu kecil esen vanila
150 biji badam - dipangang


Untuk menyalut biskut 
Cawan kertas secukupmnya
Coklat masakan secukupnya
Badam cincang - yg di panggang 
Panaskan oven dan bakar badam dengan suhu 170 C selama 15 - 20 minit atau sehingga badam masak sempurna.

Ayak tepung dan emplex ketepikan

Pukul butter, gula icing dan esen vanila hingga lembut.

Masukkan kuning telur satu persatu dan pukul lagi hingga adunan bergaul sempurna.

Masukkan tepung dan uli adunan hingga menjadi doh yang lembut.

Bulatkan doh seberat 6 gm. Letakkan sebiji badam di dalamnya dan bulatkan membujur.

Buat hingga adunan habis dan susun dalam loyang.

Panaskan oven 150C dan bakar biskut selama 25 - 30 minit atau sehingga biskut masak sempurna.

Keluarkan biskut setelah masak dan susun atas redai sehingga ia sejuk.

Cairkan coklat secara double boiler. Ambil biskut tadi dan celup dalam coklat. Letakkan dalam cup kertas. Taburkan badam dan biarkan ia mengeras. Simpan biskut dalam bekas kedap udara.

Boleh juga hiaskan ikut citarasa masing.

Rabu, 24 Ogos 2011

Suci Dalam Debu

Sesetengah orang panggil biskut ni Popia Salju. Ada juga yang sebut Suci Dalam Debu. Tak kisahlah apa namanya, yang pasti biskut ni memang sedap dan sentiasa menjadi rebutan he he.

Bukannya apa, sebab rasanya yang crunchy dan sedap. Makan banyak-banyak pun tak jemu sebab rasanya yang lemak-lemak manis. Hmmm...memang sedap. Cuma tang nak melipat kulit popia tu yang lambat sikit. Tapi takpa, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Ok mari kita tengok resepi Suci Dalam debu ni...



Suci Dalam Debu
by Shikin @ Dari Dapur Ummi

Bahan-Bahannya
1 bungkus kulit popia (saiz sederhana)

- kulit popia dipotong 4 secara memanjang dan dilipat 4
*updated - boleh juga digamkan dengan bancuhan tepung gandum bersama sedikit minyak masak untuk mengelakkan ia terbuka. 
- goreng dalam minyak yang banyak sehingga berwarna kuning keemasan
- angkat dan toskan

Untuk bahan tabur
1 cawan nestum
1/2 cawan susu tepung
1/4 cawan gula
- blend bahan-bahan diatas sehingga halus
- golekkan kulit popia yang telah kering minyak tadi di atas serbuk tersebut
- isikan di dalam bekas kedap udara

Selasa, 23 Ogos 2011

Blossom Pineapple Tarts

Hari ni sempat buat sejenis biskut. Tu pun dah pukul 3 petang baru start menggodek-godek kat dapur. Sepagi tadi kat hospital,bawa Nuha pegi checkup. Demam selsema dan batuk berterusan lebih seminggu. Masuk hari ni dah kali ke empat ambil ubat. Harap-harap kali ni lega.
Ok, balik semula ke cerita masak-masak, petang ni saya buat Blossom Pineapple Tarts. Dah lama duk peram resepi yang saya ambil daripada Myresepi ni. Tercapai juga hajat untuk membuatnya.

Terima kasih kepada pemilik asal kerana sudi berkongsi resepi ini. Saya panjangkan pula resepi anda dalam blog saya ni. 
Resepinya kat bawah :

 
Blossom Pineapple Tarts

Bahan-bahan ( 90-100 keping )
250 g mentega
1 sb susu manis
1 biji kuning telur
10 sb tepung jagung/kastard - ayak
1 sk esen vanilla (opt)
350 g tepung gandum - ayak (tambah jika adunan lembik)
inti nanas secukupnya
paper cup kecil secukupnya
Cara-cara
  1. Mentega,susu manis,kuning telur,vanilla dan tepung jagung/kastard dikacau hingga sebati.
  2. Masukkan tepung gandum sedikit2 sehingga adunan menjadi doh yang lembut. 
  3. Canai doh dan terap dengan penerap berbentuk bunga. 
  4. Bubuh doh bunga kedalam papercup yg beralas mangkuk2 alum.Isi inti nanas dan hias.Bakar pd suhu 165C selama 20 min atau hingga garing mengikut suhu oven masing2

Isnin, 22 Ogos 2011

Mee Kari

Hajat saya nak masak mee kari sebagai menu berbuka puasa petang ni. Jadi pagi-pagi lagi selepas menghantar anak-anak (Aiman ke Pasti, Deena dan Nuha ke rumah pengasuh) saya dan suami ke pasar mencari bahan-bahan  yang diperlukan.

Seronok nak memasak sebab saya ada masa yang panjang untuk prepare bahan. Selalunya tergocoh-gocoh balik dari keje, nak memasak dengan waktu yang terhad, maka hidangan yang disediakan sesimple mungkin.

Kali ni, sebab dah mula cuti, saya boleh memasak dengan riang rianya didapur kecil saya tu. Seronok... Alhamdulillah, juadah yang tak seberapa tu dapat juga dipanjangkan kepada jiran-jiran yang berdekatan (sebelum ni memang tak sempat menghantar juadah sebab selalunya beli aja kat pasar Ramadhan).

Resepi mee kari ni merupakan resepi bonda saya yang tercinta dan selalu menjadi pilihan saya bila nak masak mee kari. Tak pernah lagi cuba resepi lain. Saya letakkan pula resepi itu disini supaya ia menjadi warisan turun temurun. 

Kepada sesiapa yang nak mencuba resepi ni silalah...



Mee Kari My Mom Style
by Shikin @ Dari Dapur ummi

Bahan-Bahannya

Mee
- mee kuning secukupnya (celur di dalam air panas dan toskan)

Kuah
2 ulas bawang putih*
5 ulas bawamg merah*
1/2 inci halia* ( bahan-bahan bertanda * dikisar atau ditumbuk)
3 bungkus serbuk kari ikan
2 bungkus serbuk kari daging
6 cawan santan ( drpd sebiji kelapa)
1/2 ekor ayam
1kg kerang (rebus dan ambil isinya sahaja)
5 keping fish cake
kacang panjang / sawi 
garam secukup rasa

Bahan Hiasan
Daun Bawang, Daun Sup, Cili Merah (dihiris)
Taugeh (dicelur)
Telur ( direbus)
Bawang Goreng
Tauhu (Goreng dan hiris nipis)


Cara-cara membuatnya

  1. Leburkan bahan-bahan kisar bersama-sama rempah dan 2 cawan santan
  2. Biar sehingga pecah minyak dan bau rempah hilang
  3. Masukkan baki santan, kerang dan ayam. Biar mendidih.
  4. Masukkan fish cake dan kacang panjang. Biar seketika.
  5. Tuang ke atas mee.
  6. Letakkan bahan-bahan hiasan. Hidangkan.

Selasa, 16 Ogos 2011

Ikan Talapia Goreng Bercili

Menu bersahur 2 hari lepas


IKAN TALAPIA GORENG BERCILI
by Shikin@Dari Dapur Ummi

Bahan-bahannya
1 ekor ikan (saya guna ikan talapia)
3 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1 labu bawang besar*
5 biji cili merah*
3 biji cili padi* (banah bertanda * dikisar kasar)
2 sudu besar pes cili
2 helai daun limau purut - hiris halu dan goreng garing
Limau kasturi
Garam dan gula secukupnya
Sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara membuatnya.
  1. Bersihkan ikan, letak garam kunyit, goreng sehingga masak, ketepikan
  2. Panaskan minyak, masukkan cili pes, kacau sehingga garing
  3. Masukkan bahan-bahan yang diskisar tadi, biarkan sehingga kuahnya agak kering dan pecah minyak
  4. Perasakan dengan garam dan gula serta air perahan limau kasturi
  5. Tuangkan kuah ke atas ikan, tabur dengan hirisan daun limau purut.
  6. Sedia untuk dihidang.

Ahad, 14 Ogos 2011

Fusselli Goreng

Juadah berbuka untuk petang ni.


Bahan-bahannya
1 bungkus fusselli - direbus dan ditoskan
250gm daging cincang
3 ulas bawang putih - dicincang
1 labu bawang besar- dipotongdadu
2 biji tomato - dipotong dadu
1 senduk pes cili
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar serbuklada hitam
garam dan gula secukup rasa
minyak untuk menumis


Cara membuatnya
  1. Panaskan minyak
  2. Tumis bawang  putih dan bawang besar sehingga layu
  3. Masukkan pes cili, sos cili dan sos tomato. Kacau sehingga pecah minyak.
  4. Masukkan daging cincang dan tomato
  5. Kacau sehingga air daging agak kering
  6. Masukkan fusselli, garam, gula dan serbuk lada hitam
  7. Goreng sehingga makaroni masak
  8. Sedia untuk dihidang.

Sabtu, 13 Ogos 2011

Lala Timbul Tumis Pedas

Lala timbul ni idea daripada Ta, rakan sekerja saya. Biasanya kalau beli lala, saya masak tumis air, dengan kulit-kulitnya sekali. Kali ni nak try cara Ta pulak lah. Lala timbul...

Kenapa lala timbul??? Sebab lala tu perlu ditimbulkan dengan cara merebusnya dalam air panas. Bila dia timbul cepat-cepat kaut dan asingkan daripada kulitnya. Isi yang dah diasingkan tu bolehlah digunakan untuk masak apa-apa jenis masakan.

Yang bestnya masa nak makan nanti, sebab tak perlu dah asingkan kulitnya, ambik aje isi lala tu...ngap..ngap. 

Ok, untuk kali ni lala timbul tu saya masak tumis pedas.


Lala Timbul Tumis Pedas
by Shikin@Dari Dapur Ummi

1 kg lala ( ambil isinya sahaja)
2 ulas bawang putih*
3 ulas bawang merah*
1 labu bawang besar* (bahan bertanda * dimayang halus)
1 batang serai - dititik
1 batang lobak merah - potong ikut kesesuaian
2 senduk pes cili
3 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos ikan (optional)
2 helai daun limau purut
Sedikit minyak untuk menumis


Cara membuatnya
  1. Panaskan minyak
  2. Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga naik bau
  3. Masukkan pes cili, biar sehingga pecah minyak. Masukkan serai
  4. Masukkan sos cili, sos tomato dan sos ikan. Kacau lagi.
  5. Masukkan lobak merah dan daun limau purut
  6. Akhir sekali masukkan isi lala. Kacau sehingga masak.
  7. Perasakan dengan garam dan gula
  8. Sedia untuk dihidangkan.

Triffle


Percubaan kali ketiga buat triffle. Pernah buat 2 kali sebelum ni, tak berapa menjadi, lembik, cair, last-last masuk dalam tong sampah.

Untuk kali ni kejadiannya sangat menarik, hmmm...semuanya habis, masuk kedalam mulut.

Thanks untuk pemberi resepi ni, En Irwan brpd unit Biologi (resepi isterinya). Jazakallah...

Jom tengok gambar-gambar yang sempat disnap. Resepinya saya masukkan kemudian yerr...








Khamis, 11 Ogos 2011

Mee Sanggul Lagi..

Juadah berbuka hari ni. Tak mo cakap banyak. Layan gamber je ekkk...



Selasa, 9 Ogos 2011

Daging Congo


Kali ni saya nak share resepi Daging Congo dengan anda semua. Kenapa namanya daging Congo??? Saya pun tak pasti kenapa namanya macam tu, tapi sejak saya kenal dengan masakan ni memang itulah namanya.

Pernah juga kami adik-beradik main agak-agak sebab apa namanya Daging Congo. Last-last kami buat kesimpulan, mungkin sebab warnanya yang macam tu kot, macam orang-orang kat Congo he he... 

Tapi tak per... HITAM ITU MENAWAN! Biar rupanya macam tu, yang pasti rasanya sedap dan memang kena dengan selera anak tekak kami sekeluarga.

Daging Congo ni resepi turun temurun keluarga kami. Resepi asal daripada arwak tok saya sebelah abah. Arwah tok saya ni kalau ada daging , memang inilah lauk wajib yang dia akan masak.

Sebab tok saya tak der anak perempuan, resepi ini diperturunkan pula kepada menantu-menantunya (dah macam satu kewajipan pulak semua menantu-menantunya mesti tau resepi ni,termasuklah emak saya) dan kemudian turun pula kepada kami cucu-cucunya. 

Sebab dah terbiasa, saya pun kalau ada stok daging kat rumah resepi ni lah juga yang selalu menjadi pilihan. Lagipun bahan-bahan yang digunakan dan cara memasaknya simple saja. Rasanya pula tak berapa pedas, sesuai dimakan oleh orang dewasa dan juga kanak-kanak.

Ada sesiapa yang nak mencuba??? Resepinya ambik kat bawah...


DAGING CONGO
by Shikin@Dari Dapur Ummi

Bahan-bahannya
1 kg daging - dihiris nipis
2 labu bawang besar - dikisar halus
1/2 cawan kicap pekat
1/2 cawan air asam jawa
3/4 cawan pes cili (tambah jika nak pedas)
2 sudu besar gula
garam secukupnya (jika perlu)
sedikit minyak untuk menumis

Cara-caranya
  1. Daging diperap bersama kicap, bawang besar yang dikisar, gula dan juga air asam jawa lebih kurang 1/2 jam
  2. Panaskan minyak dalam kuali , tuangkan bahan-bahan perapan. 
  3. Masak dengan api perlahan sehingga air daging tinggal separuh 9daging akan mengeluarkan airnya sendiri)
  4. Masukkan cili pes, masak lagi dengan api perlahan sehingga kuahnya agak pekat dan pecah minyak
  5. Rasa garam dan gula
  6. Sedia untuk dihidang
*Daging Congo ni juga sedap dicecah bersama roti, ketupat ataupun lemang.

Choc Pudding


Saya buat puding ni petang kelmarin. Balik dari kerja terus bergegas kedapur, sediakan bahan-bahan dan mula menggodek.

Sebenarnya tak susah mana nak buat puding ni, bahan-bahan yang digunakan pun mudah didapati. Tapi yang pasti rasanya memang sedap. Sangat sedap sampai rasa melekat-lekat kat anak tekak. 

Makan punya makan, tak sedar separuh daripada puding tu saya sorang yang habiskan. Anak-anak memang sukalah sebab ada coklat. Masa sedang diisi dalam acuan pun diorang dah belegar-legar di sekitar dapur. "Sedapnya ummi, sedapnya ummi", riuh mulut berbunyi bila terbau keharuman puding yang dah dimasak tu.

Kepada penggemar tegar @ die hard fan makanan yang berasaskan coklat, saya syorkan anda mencuba puding ni. Pasti anda puas hati.

Ok, kepada yang nak cuba bolehlah tengok resepi kat bawah ni. Terima kasih kepada tuan punya asal resepi dan juga pemilik blog yang saya copy resepi puding tersebut


RICH CHOC PUDDING by Jun
Sumber : K.Nor@Secubit Garam

1/2 cawan serbuk koko (saya guna 1/4 cawan serbuk koko dan 1/2 cawan milo)
1 cawan gula
1/2 cawan susu tepung
1/2 sudu teh garam
4 1/4 cawan air (Agak lembut.Sesuai jika nak makan terus dari bekas.Kurangkan kepada 4 cawan jika gunakan mould @ ingin dipotong )
4 sudu besar tepung jagung
1/2 sudu teh esen vanilla
3 sudu besar butter
1 paket serbuk agar2 (10-11gm)

Campurkan semua bahan kecuali butter dan kacau selalu hingga mendidih.
Masukkan butter, kacau hingga pekat.
Angkat dan masukkan kedalam loyang atau acuan yg disukai.


** untuk puding ni n puding2 lain, kalu nak senang keluarkan bila dah beku, basahkan dulu acuan sebelum memasukkan puding..bila dah beku, insyaAllah senang nak keluarkan.

Isnin, 8 Ogos 2011

Masak Lemak Ayam Kampung

Salam Ramadhan...

Ekceli ni lauk hari Jumaat hari tu, tapi biasalah disebabkan kesibukan hujung minggu tak sempat nak publish dalam blog. Kiranya ni n3 tertunda lah ni.

Ayam kampung masak lemak ni request daripada en. suami yang teringin nak makan masak lemak ayam kampung yang macam arwah MIL selalu buat dulu.

Alahai...memang tak dapatlah saya nak lawan stail MIL sebab air tangan ibu sentiasa yang terbaik buat anak-anak. Memang sedap sungguh bila makan masak lemak yang MIL buat.  Tengok bahan-bahan yang dia masukkan biasa-biasa saja. Tapi rasa dia...hurmmmm memang sedap.

So, saya cuba juga membuat dengan stail MIL tapi mengikut citarasa saya. Jujurnya masakan ini,  tak dapat menggantikan masakan MIL tapi sekurang-kurangnya mengubati rasa rindu suami terhadap masakan arwah (semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya)

Disini saya kogsikan resepinya...


MASAK LEMAK AYAM KAMPUNG My MIL Style

Bahan-bahannya
1 ekor ayam kampung
3 ulas bawang putih*
5 ulas bawang merah*
1 labu bawang besar*
5 tangkai cili padi* 
1 inci kunyit hidup* (bahan yang bertanda * dimayang halus)
1 keping asam gelugur
1 inci halia - dititik
2 inci lengkuas - dititik
2 batang serai - dititik
3 cawan santan daripada 1/2 biji kelapa 



Cara membuatnya
  1. Ayam dipotong mengikut kesesuaian dan direbus separuh empuk
  2. Masukkan semua bahan yang dimayang dan dititik, perlahankan api dan reneh seketika
  3. Masukkan santan dan asam keping , reneh sehingga ayam empuk.
  4. Perasakan dengan garam
  5. Sedia untuk dihidang

Khamis, 4 Ogos 2011

Daging Goreng Black Pepper

Menu Ramadhan 3

Hari ni saya masak lauk daging. Bukan untuk berbuka, tapi untuk sahur esok. Untuk berbuka saya main tunjuk-tunjuk ajer..

Tanya suami nak buat apa dengan daging tu, dia cakap masaklah apa-apa pun. 

Suami memang macam tu, urusan masak dia akan serahkan pada saya. Apa saja saya masak dia akan makan. Tak banyak songeh. Sesekali dia  teringin nak makan apa-apa baru dia request. 

So, saya decide nak masak Daging Goreng Black Pepper lah, ... my style. Ok, jom tengok resepi.


Daging Goreng Black Pepper
by Shikin @ Dari Dapur Ummi

Bahan-bahannya
250gm daging - direbus dan dihiris nipis
3 ulas bawang putih - dimayang
3 ulas bawang merah - dimayang
1 labu bawang besar - dipotong bulat
1 batang saleri - hiris dalam ketebalan 1/2 cm
1/2 cawang sos tiram
1 sudu besar kicap manis
1 sudu besar lada hitam - ditumbuk kasar ( tambah kalau nak pedas)
karot (boleh diganti dengan lain-lain sayur yang berkenan)
sedikit minyak untuk menumis

Cara membuatnya:
  • Rebus daging sampai empuk, hiris nipis-nipis dan goreng
  • Asingkan sedikit minyak bekas gorengan daging, kemudian tumis bawang putih dan bawang merah sehingga garing
  • Masukkan saleri
  • Masukkan sos tiram, kicap cair dan lada hitam. biarkan seketika
  • Masukkan air rebusan daging. kacau rata
  • Masukkan hirisan bawang besar dan karot. biarkan sehingga kuah agak kering
  • Sedia untuk dihidang

Rabu, 3 Ogos 2011

Mee Sanggul Berempah Kari

Menu untuk ifthar Ramadhan 2.


Masak mee sanggul ni seadanya. Main bubuh apa yang ada. Biasalah, hari-hari bekerja ni semuanya mesti cepat dan pantas. Maklumlah masa yang ada agak terbatas.

Hasilnya...walaupun penat, tapi berbaloi. Puas rasanya tengok keluarga menjamah masakan hasil air tangan kita. Jom layan resepi kat bawah.

Mee Sanggul Berempah Kari
by Shikin @ Dari Dapur Ummi

Bahan-bahannya
1 peket Mee sanggul - rendam seketika dan toskan airnya
3 ulas bawang putih - diketuk
3 sudu besar pes cili
2 sudu besar rempah kari daging
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
2 biji telur
Udang dan sotong (boleh juga guna ayam @ daging)
Sawi (boleh juga gunakan sayur-sayur lain megikut kesesuaian)
minyak untuk menumis

Cara membuatnya
  1. Goreng telur pecah-pecah (scrambled egg), ketepikan.
  2. Panaskan minyak, tumis bawang putih sehingga naik bau.
  3. Masukkan pes cili, kacau seketika.
  4. Masukkan rempah kari, kacau lagi sehingga garing.
  5. Masukkan semua sos.
  6. Setelah semuanya sebati masukkan udang dan sotong.
  7. Kemudian masukkan mee sanggul yang telah ditos, apabila hampir masak masukkan sayur dan telur yang digoreng tadi
  8. Sedia untuk dihidang. (Lebih sedap kalau makan bersama cili jeruk)

Selasa, 2 Ogos 2011

CILI JERUK



Ni first time saya cuba buat cili jeruk. Sebelum ni pandai makan ajer. Tak sang pulak mudah ada nak membuatnya...

He he...sekarang kat rumah saya dah ada sebotol cili jeruk yang saya buat sendiri. Lepas ni senanglah, bila makan mee, bihun atau kue teow goreng ada cili jeruk sebagai penambah selera.

Terima kasih kepada pemilik asal resepi. Minta izin kopipes yerr...

Resepi Asal: K.Nor@SECUBIT GARAM
Bahan :
  • 7 -8 bj cili hijau ~ boleh guna cili merah/hijau (saya guna cili padi)
  • 1 cawan air
  • 1 cawan cuka
  • 2 -3 sudu besar gula

Cara :
  • Basuh cili dan toskan.
  • Kemudian hiris tp jangan terlalu nipis.
  • Masak air bersama cuka dan gula hingga mendidih. Biarkan hingga sejuk.
  • Masukkan cili ke dalam botol yg bersih dan tuangkan air cuka yg dimasak tadi.
  • Tutup botol dan biarkan sehingga 2 - 3 hari baru lah sedap dimakan bersama mee rebus/goreng dan sebagainya.

Kek Batik


Saya buat kek batik ni untuk pot luck di tempat kerja  kelmarin. Menu yang ringkas dan senang nak buat. Yang pasti ia disukai ramai.

Kat rumah pun saya tinggalkan sebekas. Untuk anak-anak yang memang suka masakan yang ada base coklat. He he bukan takat anak-anak, mak anak dengan abah anak pun suka.

Tak puas makan rasanya. Lepas seketul, masuk lagi seketul, lepas tu lagi seketul. Tengok-tengok dah tinggal separuh bekas. Hmm...dah berketul-ketul la tu yang masuk kedalam perut yer... U...la la la...

Ada yang nak resepi??? Ada kerr?? He he..

Kalau ada yang nak tu,  follow jer resepi kat bawah ni. InsyaAllah jadik.

Tapi kalau yang nak menderhaka resepi tu pandai-pandai sendiri yer..

Pe hal pun kita yang buat dia. Macam mana pun kita bagi dia jadilah  jugak.

Kek Batik
Resepi : Shikin @ Dari Dapur Ummi


Bahan-bahan
1 ketul Butter
1 tin kecil susu pekat manis
1 cawan Nestum
1 cawan air
3 sudu besar serbuk koko
3 sudu besar milo
3 biji telur
Biskut Marie secukupnya


Cara-cara membuatnya (Dengan api perlahan)

1) Cairkan butter.
2) Kemudian masukkan satu persatu susu pekat, air dan telur. Kacau sebati
3) Masukkan pula serbuk koko, milo dan nestum. Pastikan api perlahan. Kacau lagi sehingga adunan pekat.
4) Masukkan biskut marie yang telah dipatah-patahkan 4 sehingga adunan padat.
5) Adunan boleh dimasukkan kedalam loyang atau bekas yang sesuai sebelum dimasukkan kedalam peti sejuk.

Sebenarnya resepi ni saya ambil daripada rakan sekerja saya masa kat Kudat dulu. K.Sarimah namanya tapi kitorang dah lama lost contact setelah k.Sarimah berpindah ke Johor. Apa pun terima kasih akak sebab bagi saya resepi yang sangat sedap ni. Feveret kami sekeluarga. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kongsi Resepi

Terdapat ralat dalam alat ini