Sudi-Sudi Ikut Saya...

Selasa, 28 Februari 2012

Fruit Jelly

Try buat fruit jelly ni sempena makan-makan untuk meraikan hari lahir seorang rakan sekerja Kak Ti. 

Kelmarin genap usianya 40 tahun. Dah masuk 4 series u...he he..

Selamat Hari Lahir Kak Ti. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

Idea untuk buat fruit jelly ni saya dapat daripada k.nor@secubit garam, dimana idea asalnya k.nor ambik daripada yaniMyR.

Minta izin daripada kedua-duanya untuk share resepi kat sini pulak ye...




FRUIT JELLY 
sumber Yani MyR

Bahan-bahan ( 2 orang )

2 biji limau- large size
4g serbuk agar-agar
500ml air + jus limau
50g gula
secubit garam

Potong bahagian atas limau. Dengan kedua belah tangan, picit sedikit untuk keluarkan jusnya. Kemudian tarik keluar isi dengan tangan.
Isi limau tadi diperah untuk ambik jusnya.
Masukkan air dan jus limau, agar-agar, gula dan garam ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih.
Tuangkan ke dalam kulit limau tadi. Biarkan sejuk dan jelly keras. ( Kalau guna limau pastikan kulitnya tu tebal)

* kalau nak tengok step by step yg Yani buat boleh tengok kat SINI ya..



Saya ikut resepi k.Nor...

5 biji limau- large size
10g serbuk agar-agar
1000ml air + jus limau
7 sudu besar gula
secubit garam
2 sudu besar sunquick oren ~ utk beri kaler jelly lebih menyerlah (ni yg k.nor tambah)

# k.nor sukat dulu jus oren. katakan dpt dlm 400ml. ketepikan
# utk sukatan air cuma perlu sebanyak 600ml jer lagi
#masukkan semua bahan2 kecuali jus oren dan sunquick.
#bila semua dah mendidih, padamkan api biarkan sebentar baru dimasukkan jus perahan oren dan sunquick
#bukan apa, tak nak sia2kan vit C dlm jus oren, kang kalau dimasak sampai mendidih, kut2 hilang vit C tu.. sayang gak kan.. :)

Kalau nak tengok step by step yang k.nor buat pulak tengok kat sini

Ahad, 26 Februari 2012

Menu Ekspress...

Menu yang selalu menjadi pilihan bila keadaan terdesak dan masa tak mengizinkan...

Mee Maggie cepat dimasak sedap dimakan...(mood : orang tak berapa rajin nak masak...ngeh...ngeh...)


Rabu, 22 Februari 2012

Laksa Lagi

Buat lagi laksa, gara-gara nak menghabiskan stok ikan temenung dalam peti ais tu.

Ikan kalau dah kena ais, banyak hari pulak tu nak goreng pun tak sedap. So kena fikir alternatif lain untuk menghabiskan ikan-ikan tu.

Memula ingat nak buat cucur ikan, tapi masa tengah merebus tu en. suami melontarkan persoalan "nak buat laksa ka?". Saya pun hmmmm....buat laksa la...

Masih menggunakan resepi Cheq Sue yang saya buat sebelum ni. Cuma kali ni laksa saya kuahnya tak berapa pekat. Mungkin sebab ikan tak berapa banyak kot...

Pe hal pun, laksa tetap licin....

Resepi tengok bawah yer...


Laksa Kedah Cheq Sue

Bahan-bahannya
1 kg ikan selayang / sardin - direbus (saya guna ikan kembung@temenung)
1 cawan udang kepal - dibasuh dan ditumbuk lumat. (saya blend aja)
30-40 tangkai cili kering - rendam air panas dan kisar
2 ulas bawang besar - kisar dengan cili kering
1 inci belacan - dikisar bersama cili kering
3 ulas bawang merah - dimayang
1 genggam asam keping
1 genggam daun kesum
3 batang bunga kantan
2 liter air @ lebih
garam secukupnya



Cara-cara membuatnya
  1. Ikan yang telah direbus diasingkan isi dengan tulang
  2. Isi ikan dikisar kasar (masukkan air paras ikan sebelum dikisar)
  3. Tulang ikan bersama air rebusan dikisar dan ditapis. Ambil air sahaja.
  4. Kisar cili kering bersama bawang besar dan belacan
  5. Tumis bawang merah hingga kuning dan masukkan cili kisar dan udang kepal yang ditumbuk lumat.
  6. Biar hingga cili masak (pecah minyak)
  7. Masukkan isi ikan. Kacau dan biar masak seketika bersama cili.
  8. Masukkan air rebusan ikan.
  9. Masukkan asam keping, daun kesum dan bunga kantan.
  10. Masukkan garam secukup rasa. Biar Mendidih.
Bila kuah dah masak bolehlah dihidang dengan laksa yang telah direbus dan bahan-bahan tabur yang lain.
 
 
Bahan hidang
Laksa - rendam dan rebus
Daun salad/ selom - dihiris
Timus - dihiris memanjang
Bawang besar - dimayang halus
Cili api - dihiris
Limau kasturi / limau nipis
Telur rebus

Selasa, 21 Februari 2012

Puyuh Goreng Madu

Gambar dalam fail simpanan. Sebenarnya dah lama buat puyuh goreng madu ni, tapi tak sempat masukkan resepi.

Ini puyuh goreng madu gaya saya. Aci redah bahan-bahan yang ada. Main campak saja...


Puyuh Goreng Madu
by Shikin

Bahan-bahan
4 ekor Puyuh
2 sudu besar Madu
1sdt Garam 
1 sdt Kunyit
2 ulas bawang putih
2 ulas Bawang Besar
4 tangkai Cili Kering
2 pelepah Daun Kari

Cara-cara
  1. Bersihkan puyuh elok-elok. Lumurkan dengan bawang putih, garam, kunyit dan madu. Perap 1/2 - 1 jam.
  2. Panaskan minyak, goreng puyuh.
  3. Apabila puyuh hampir masak, masukkan hirisan bawang besar, cili kering dan daun kari.
  4. Terus menggoreng sampai semua bahan masak.
  5. Angkat puyuh drpd kuali dan hidangkan.

Ahad, 19 Februari 2012

Sup Sayur

Hidangan ringkas untuk makan malam. Sampai dari kampung dah dekat maghrib, tak sempat singgah kedai cari bahan masakan. Aci redah apa yang ada dalam peti ais, sayur aje yang banyak. Ada sawi, karot, baby corn etc... 

Hmmmm...buat sup sayur je lah. Makan panas-panas...


Sup Sayur

Bahan-bahan
Sayur (sawi, karot, babycorn etc...) - potong ikut kesesuaian, basuh bersih dan toskan.
Bawang putih dan bawang merah secukupnya - mayang halus
Bawang besar - hiris
Suhun secukupnya - rendam dulu, lepas tu tos
Sedikit minyak - dalam 1 sudu besar @ ikut kuantiti sayur. Kalau sayur banyak lebihkan, kalau sup sayur lebih kurang satu mangkuk, 1 sudu pun dah  cukup. 
Air
Udang atau ikan bilis sebagai perencah. Tak letak pun tak pe. (Kali ni saya tak letak sebab tak de stok)

Cara-cara
  1. Panaskan minyak, tumis bawang merah, bawang putih dan bawang besar sehingga layu.
  2. Masukkan air untuk dijadikan kuah secukupnya. 
  3. Apabila kuah mendidih masukkan sayur-sayuran. Masukkan sayur yang keras dulu.
  4. Kemudian masukkan suhun. 
  5. Masukkan garam.  Kacau sebati.
  6. Padamkan api.

Khamis, 16 Februari 2012

Gulai Lemak Nangka Dengan Talang Kering

Letak gambar saja, sebab yang ni pemberian emak saya. Bukan saya masak sendiri.

Nak letak resepi pun tak tau bahan-bahan yang digunakan. 

Kalau nak agak-agak bahan tu memang boleh, tapi tanya terus daripada tuan punya resepi baru berkat kan...kan...

Layan gambar ekkk...


Rabu, 15 Februari 2012

Sambal Udang Dengan Tofu Telur

Juadah ringkas untuk makan malam. Alhamdulillah, dapat memenuhi selera suami dan anak-anak menghabiskan sepinggan nasi.


Sambal Udang Dengan Tofu Telur

Bahan-bahan
2 bungkus tofu telur
10-15 ekor udang sederhana besar
2 senduk cili kisar
Garam dan gula secukupnya
Minyak untuk menumis

Cara-cara
  1. Goreng tofu telur, kemudian goreng udang. Letak tepi.
  2. Tumis cili kisar sampai garing, masukkan garam dan gula secukup rasa.
  3. Masukkan sedikit air, kacau sebati
  4. Bila kuah cukup masak, masukkan tofu telur dan udang. Kacau dan biarkan tofu dan udang sebati dengan kuah.
  5. Padamkan api. Sedia untuk dihidangkan.

Selasa, 14 Februari 2012

Sandwich Goreng

Tak tau nak masak apa untuk makan malam kelmarin. Suami cadang supaya dibuatkan roti telur, tapi rasa dah biasa sangat.

Teringat dalam peti ais masih ada baki inti sardin yang saya buat baru-baru ni.

Teringat juga kesedapan sandwich goreng yang biasa saya makan kat kafeteria di tempat kerja.

Hati berkata-kata "Hmm...sandwich goreng ok jugak kottt..."

Sebelum ni pernah juga rasa teringin nak cuba-cuba goreng sendiri sandwich guna bancuhan tepung goreng pisang yang saya biasa buat. Tapi tak terlaksana sebab takut makan minyak pula roti tu.

Bila duk survey dalam internet jumpa resepi sandwich goreng ni diblog AlongRoz. Along kata resepi ni ok, sebelum tu Hasue pun dah buat . Jadi saya pun pakai resepi yang sama lah.

Alhamdulillah, menjadi... Tengok suami dan anak-anak pun makan dengan berselera. Masih panas-panas dan rangup-rangup gitu... Memang sedap. Insya Allah boleh buat lagi lepas-lepas ni.

Ok, saya letakkan pula resepi tu kat sini, tapi ada penambahan sikit berdasarkan apa yang saya buat.


Sandwich Goreng
by Shikin
Sumber: AlongRoz@HomeKreation
Sumber: MR_HaSue

Bahan-Bahan:

Bahan Roti
Roti putih
Inti Sardin
Planta/Mentega
Mayonis

Bahan Batter 
2 sb Majerin (saya letak 1 sudu shj)
6 sb Tepung Gandum*
1 sb tepung ubi (saya tambah)
1/4 st Garam* (* campur) 
Air
 
CARA2:
  1. Sapu roti dengan planta dan mayonis. Ratakan inti sardin diatasnya. Lipat 2 roti menjadi bentuk 3 segi. Ketepikan.
  2. Majerin di campurkan ke dlm tepung menggunakan garfu sehingga menjadi spt serbuk roti.
  3. Campurkan air sedikit2 sehingga menghasilkan satu bancuhan pekat.
  4. Celupkan roti sandwic & goreng dgn minyak dalam yg telah di panaskan sehingga masak & garing.
  5. Angkat & hidangkan dgn sos cili & mayonis.

Isnin, 13 Februari 2012

Triffle Lagi

Saya buat triffle ni untuk majlis merisik adik perempuan saya, Sarah, petang kelmarin. 

Balik kerja terus ke kedai bakery nak cari swissroll tapi tak ada. Yang ada cuma kek sponge pandan. Rasanya kek sponge pun ok juga jadi saya ambik 2 biji sebab saya bercadang nak buat dua adunan triffle. Satu untuk majlis merisik dan satu lagi untuk dibawa ke tempat kerja.

Mulanya rasa cuak juga takut tak sempat siap sebelum tetamu datang. Alhamdulillah segala-galanya dipermudahkan Allah dan puding triflle ni dapat disiapkan.

Masih menggunakan resepi yang sama sebelum ni.

Puding Triple Layer (Triffle)
Resepi : Officemate
Sumber : Shikin

Bahan-bahannya
2 gulung swissroll/ kek coklat/ kek buah
1 tin fruit coktail
1 tin susu cair
1 tin air
5 sudu makan tepung kastard
5 sudu makan gula
1 kotak Jelly Crystal berperisa Strawberry/Raspberry (masak ikut arahan dalam kotak)


Cara membuatnya
  1. Potong kek dan susun dalam bekas (kalau letak dalam bekas kaca jernih lagi cantik)
  2. Tapis buah-buahan. Jirus air buah atas kek.
  3. Campur kastard, gula, susu cair, air dalam periuk. Kacau di atas api yang kecil hingga masak dan berkilat. (saya tambahkan 1 sudu besar serbuk agar-agar) Biarkan beku.
  4. Tuangkan jelly yang telah dimasak diatas kastard. (lapik senduk atau sudu sebelum menuang ke atas kasrtad supaya adunan kastard tak pecah)
  5. Sejukkan dalam peti ais terlebih dahulu sebelum dimakan.

Selain triffle, kami juga menyediakan mee goreng dang bingka tepung untuk hidangan tetamu yang datang bertandang.



Ahad, 12 Februari 2012

SUPER FUDGY BROWNIES

Penah makan brownies tak? Selalu makan kek, apa kata sekali-sekala kita tukar dengan brownies pulak. So, mengambil kesempatan cuti hujung minggu, godek-godekla bahan untuk buat brownies.

Banyak-banyak resepi brownies yang saya survey, hati rasa tertarik nak cuba brownies yang ditayangkan oleh K.Nor dalam entrynya baru-baru ni.

Memang terasa kelainan antara brownies dan kek coklat. Saya setuju dengan kata-kata k.Nor brownies yang ini terrrrramat kaya dengan rasa coklat dan agak chewy. Tu yang rasa tak puas-puas nak mengunyah.

Kalau lihat pada gambar, brownies saya ni agak kering dan merekah. Jadi macam tu sebab saya tersalah set api atas bawah masa memanaskan oven. Dah bakar dekat 15 minit baru perasan.

Tapi, tak kisahlah kan. Yang penting rasanya memang sedap dan menjadi rebutan anak-anak.



SUPER FUDGY BROWNIES
Resipi : Martha Stewart
Di Olah : Che CT
sumber: K.Nor

Bahan-bahan :
120 gm unsalted butter - (8 sudu besar) Saya guna buttercup
130 gm all purpose flour - (1 cawan) Saya guna tepung superfine
1/2 sudu teh baking powder
30 gm serbuk koko - (1/4 cawan)
1/2 sudu teh garam
220 gm coklat masakan - dadu kecil-kecil
240 gm gula perang - (resepi asal 1 1/4 cawan gula kastor)
3 biji telur gred A
3/4 cawan choc chips

Bahan untuk ditabur :
Almond slice / choc chips


Cara-cara :

1. Panaskan oven 180'C. Sapu loyang dengan mentega dan alas dengan baking paper dan lebihkan ditepi loyang untuk memudahkan untuk dikeluarkan brownies nanti, dan sapu juga baking paper dengan mentega. Ketepikan.

2. Ayak tepung gandum, serbuk koko, baking powder, garam dan choc chips sekali. Ketepikan. Pindahkan choc chips yang telah diayak kedalam bekas lain.

3. Cairkan coklat masakan dan butter guna keadah double boiler. Pastikan air tidak masuk dalam coklat. Matikan api.

4. Masukkan gula dalam adunan coklat dan kacau rata dengan whisk hingga gula larut dan sebati dengan coklat. Masukkan telur satu persatu dan kacau rata-rata dengan perlahan-lahan.

5. Masukkan adunan tepung yang telah diayak tadi sedikit-sedikit hingga tercampur rata. Masukkan sekali choc chips yang diayak tadi. Jangan aduk terlalu lama, cukup sekadar bercampur dan tiada tepung lagi.

6. Tuang adunan dalam loyang dan ratakan. Taburkan almond slice dan choc chips ikut suka. CT guna loyang 10x10x2 inci.

7. Bakar selama 50 minit atau hingga masak. Keluarkan dari oven dan sejukkan 30 minit. Bila dah sejuk baru keluarkan dari loyang dan letak atas redai dan boleh dipotong-potong. Hias ikut suka... Selamat mencuba :)

* K.Nor hanya guna 200gm gula perang dan bakar dgn suhu 170C

Jumaat, 10 Februari 2012

Kangkung Goreng Dengan Udang Bendang


Kangkung Goreng Dengan Udang Bendang

Bahan-bahan
Kangkung
Udang Bendang
Bawang merah dan bawang putih
Bawang besar
Sambal belacan
Garam
Minyak untuk menumis

Cara-cara
  1. Panaskan minyak, tumis bawang merah dan bawang putih.
  2. Masukkan sambal belacan dan bawang besar. Kacau sekejap.
  3. Masukkan kangkung yang telah dipotong dan dibersihkan. Goreng sampai kangkung masak.

Udang Bendang Goreng Kunyit

Udang bendang ni dibeli oleh suami saya kat pasar malam baru-baru ni. Tak tau nak masak apa, jadi saya buat masak goreng kunyit saja.



Udang Bendang Goreng Kunyit

Bahan-bahannya
Udang bendang
Bawang besar*
Bawang merah*
Bawang Putih*
Cili padi*
Garam dan serbuk kuntit
Minyak Masak
(Bahan-bahan bertanda * dimayang halus / dihiris. Kuantiti bahan yang digunakan boleh diejas ikut kesesuaian)

Cara-cara
  1. Basuh udang bersih-bersih dan toskan.
  2. Panaskan minyak. Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga garing.
  3. Masukkan udang bendang, serbuk kunyit dan garam. Kacau udang sehingga separuh masak.
  4. Masukkan pula bawang besar dan cili padi. 
  5. Kacau sehingga udang dan bawang masak sepenuhnya.

Khamis, 9 Februari 2012

Potato Wedges

Potato wedges ni sebenarnya one of my favourite dish. Kalau p fast food restaurant, wajib order wedges ni, nak-nak yang mayo dan cheezy tu...mmmm...sedapnya... Macam mana lah tak bam bam kan....

Ha....tu yang segera punya cerita. Kali ni saya nak share satu resepi wedges...homemade punya tau. Tak der lah susah nak membuatnya dan bahan-bahannya pun simple aja. 

Sapa-sapa yang rajin, bolehlah cuba. Tapi kalau rasa tak berapa rajin, yang frozen pun banyak kat pasaraya. Beli sebungkus, balik boleh terus goreng.

Ok, moh kita tengok resepi...


Potato Wedges
sumber: nonierahman

Bahan-bahan
  • 4 biji ubi kentang (saya pakai russet potato so x yah buang kulit,basuh bersih2)
  • 5sb tepung gandum
  • 5sb tepung beras
  • 1sdt serbuk paprika (nak pakai serbuk kari pon boleh)
  • 1sdt serbuk lada hitam
  • 1 ulas bawang putih di cincang
  • 1/4 sdt garam
  • 1 biji telur
Cara-cara

Gaul semua bahan dan goreng pada api sederhana



Selasa, 7 Februari 2012

Mee Goreng Berdaging

Ekceli mee goreng ni dah lama dah saya buat, tapi tak pernah di publishkan. 

Memandangkan tak der projek masak-masak yang beria-ia sangat sehari dua ni, apa salahnya saya tempekkan gambar dan  resepi yang dah berkurun duk dalam simpanan.

Tengok gambar nye pun buruk sikit. Aci snap masa dalam kuali lagi. Tak sempat nak letak dalam pinggan dan hias-hias bagai. Tapi tak kisah la kan....


Mee Goreng Berdaging
by Shikin

Bahan-bahannya
1 bungkus mee kuning - Keluarkan daripada plastik dan lerai-lerai kan.
200 gm daging - rebus sampai empuk dan hiris nipis
3 ulas bawang putih
2 senduk cili kisar
2 ketul tauhu/tokua
Sos cili / sos tomato / kicap
Sawi
Garam dan gula
Sedikit minyak

Cara-cara membuatnya
  1. Panaskan minyak. Tumis bawang putih sehingga kekuningan.
  2. Masukkan cili kisar. Masak cili sehingga garing.
  3. Masukkan kesemua jenis sos dan kicap serta garam dan gula secukupnya.
  4. Masukkan pula daging dan tauhu. Biar sekejap supaya semua bahan sebati.
  5. Tuangkan sedikit air rebusan daging.
  6. Pecahkan telur (optional). Kacau sekejap.
  7. Bolehlah masukkan mee kuning.(kalau saya, saya suka basuh dulu mee tu sebelum digoreng, tapi terpulang kepada stail masing-masing)
  8. Kaup balikkan supaya mee dan bahan tumis bergaul mesra.
  9. Masukkan sawi. 
  10. Teruskan menggoreng sehingga mee masak. Padamkan api.
  11. Hidangkan.

Isnin, 6 Februari 2012

Cekodok Ubi

Dah lama tak makan cekodok ubi ni. Sebab bekalan ubi keledek jarang benar ada kat dapur saya.  Entah kenapa tak lah rajin sangat saya membeli keledek.

Sedangkan sebelum kahwin cekodok ubi ni lah yang selalu menjadi kudap-kudapan kami sekeluarga dipetang hari. Sebab abah kalau ke pasar jarang lupa membeli keledek. Kalau tak digoreng, dijadikan cekodok. 

Dan sebagai kakak sulung, sayalah yang selalu mengambil alih tugas emak, melecek dan menggentel aduanan keledek. Bukan sikit tu, selalunya sekilo ubi digunakan. (Untuk santapan abah, emak dan 10 orang adik beradik kami) Dah dicampur dengan tepung, mak aihhh.... jenuh jugaklah. Sempat juga layan cerita hindustan masa menggentel.

Petang Jumaat lepas rasa teringin pulak nak makan cekodok ubi. Hmmm...sesekali mengimbau kenangan masa silam. Lagipun apa salahnya makanan yang biasa saya makan tu saya hidangkan kepada keluarga saya pula.

Tak sangka pula cekodok ubi ni mendapat sambutan yang tinggi daripada anak-anak saya. Sekejap je licin pinggan.

Saya letakkan pula resepi cekodok ubi tu disini. Tapi sorrylah ye sebab tak der sukatan. Resepi orang tua-tua, main agak-agak jer...


Cekodok Ubi

Bahan-bahannya
Ubi keledek (kalau dapat keledek oren lagi bagus)
Tepung Gandum- ayak
Gula
Sedikit Garam

Cara-cara membuatnya
  1. Kopek kulit ubi, potong kecik-kecik, rebus dengan garam sikit sampai empuk. (Air untuk rebus ubi tu jangan banyak sangat. Kalau boleh cukuplah sekadar nak bagi ubi empuk dan air rebusan tinggal di dasar periuk saja)
  2. Keluarkan ubi yang telah empuk. Masukkan ke dalam bekas yang sesuai.
  3. Tuangkan gula secukupnya.
  4. Lecek ubi bersama-sama gula sehingga hancur.
  5. Masukkan ubi sedikit demi sedikit dan uli bersama-sama ubi sampai sebati (agak-agak la bagi sedang elok, kalau kurang tepung adunan lembik susah nak digentel. Kalau terlebih, adunan keras bila dah digoreng boleh dibaling kedinding pulak nanti)
  6. Bulat-bulatkan adunan dan gentel sebesar duit 50 sen.
  7. Sipa digentel, bolehlah digoreng didalam minyak yang banyak sehingga berwarna kuning keemasan. an.
  8. Angkat dan toskan.
  9. Lepas tu makan lah...tengah panas-panas tu yang sedap.(Tapi jangan pulak masuk mulut yang baru angkat daripada kuali, jang melepuh pula. Biarlah sejuk 5 - 10 minit)

Butter Bread Pudding & Welcome Teratak Resepi Ummi.

Firstly, nak ucap selamat datang kepada blog Teratak Resepi Ummi ke arena blog masak-masak. Blog ni kepunyaan sahabat seperjalanan saya Ta yang semakin semangat berblogging sejak akhir-akhir ni. 

Tahniah sebab berjaya mewujudkan blog ini setelah 'bersabar' sekian lama melihat saya dan beberapa rakan yang lain mengupdate blog saban hari. Teruskan usaha Ta. Chaiyokk!!!

Ok, kembali kepada entry utama. Sebenarnya hari ni saya nak cerita tentang Bread Butter Pudding yang saya buat hari Jumaat hari tu. Dah habis pun di makan. Baru nak letak entry.

Resepi puding ni saya ambik daripada dapur DayangJack. Cantik dan menarik  kejadiannya didapur Dayang tu. Manakala dapur saya ni kejadiannya biasa-biasa saja. Tapi tang rasanya tu...hmmmm...

Rasa puding ni sedap, dan saya suka dengan rasanya yang lembut dibahagian bawah dan sedikit crunchy dibahangian atasnya. Tambah pula ditabur dengan coklat cip yang cair bila dibakar. Memang sedap.

So, minta izin daripada tuan resepi untuk saya tempekkan resepi BBP tu di sini pulak... Sapa yang berkenan boleh cuba lepas ni ye...

Butter Bread Pudding
Resepi : DayangJack@DapurKu SaYang
bahan-bahan : 4-5 orang makan
  • 8 keping roti
  • 2-3 biji pisang ranum- dihiris nipis (saya skip yang ni)
  • mentega secukupnya
  • peanut butter secukupnya (skip jugak)
  • chocolate rice / chocolate chips secukupnya
  • kismis secukupnya (tak letak)
  • sedikit parutan kulit oren sunkist - optional
Bahan A :
  • 2 cawan susu segar/susu cair
  • 1 sudu besar gula kastor
  • 3 biji telur 
  • 1 sudu kecil esen vanilla
Bahan B :
  • 1/4 sudu kecil serbuk kayu manis* - optional
  • 1-2 sudu besar gula perang/pasir * (satukan kedua-dua bahan ini)
Cara-cara :
  1. Bahan A : Pukul telur bersama gula hingga hancur dengan whisk. Kemudian masukkan susu segar/susu cair dan esen vanilla. Kacau sebati. Ketepikan.
  2. Sapukan roti dengan mentega dan peanut butter.
  3. Potong roti kepada 4 bahagian.
  4. Sementara itu, lengserkan bekas/mangkuk tahan panas dengan mentega. Kemudian susunkan roti dan hirisan pisang seperti dalam gambar. 
  5. Taburkan dengan sedikit chocolate rice dan parutan kulit oren jika suka. Lapiskan lagi dengan kepingan roti dan pisang yang sudah dipotong mengikut citarasa sendiri. Buat hingga habis. 
  6. Setelah itu, tuangkan bahan A tadi sehingga rata. Taburkan chocolate rice, parutan kulit oren, kismis dan juga bahan B. 
  7. Biarkan sebentar sehingga ia serap. Sementara itu sediakan dulang yang berisi air panas. Letakkan bekas/mangkuk roti tadi di tengah-tengahnya.
  8. Bakar selama lebih kurang 35-40 minit atau hingga keperangan dengan suhu 160C. 
  9. Setelah masak, bolehlah dihidangkan samada panas atau sejuk. 

Khamis, 2 Februari 2012

Kari Udang

Salam semua...

Hari ni nak tayang menu yang selalu mendapat tempat di Dapur Ummi. 

Menu yang satu ni memang kegemaran en. suami dan turut digemari sang isteri dan anak-anak. 

Hmm...apa lagi menunya...Kari Udangla...

Mengambil kesempatan memasak hidangan kesukaan suami sempena saya 'off ' hari ni (cuti emergency). Suka tengok dia makan tengahari ni. Bertambah 2,3 kali.

Bukan selalu waktu tengahari macam ni saya boleh masakkan untuk dia.(selalu kan waktu macam ni kat ofis) 

Dan selalunya makan tengahari suami dihidangankan dengan makanan daripada MamaWiduri mahupun LanTabur.

Tapi hari ni boleh kari udang...walla...

Jomla tengok resepi  kat bawah


Kari Udang
By Shikin

Bahan-Bahan
500gm Udang - dibersihkan
5 ulas bawang merah* - dimayang
2 ulas bawang putih* - dimayang
2 Tangkai daun kari* - lurut daunnya sahaja
2 bungkus serbuk kari ikan - bancuh dengan sedikit air
2-3 cawan santan
Karot/tomato
Garam secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis



Cara-Cara Membuatnya
  1. Panaskan minyak. Tumis bahan bahan bertanda * sehingga kekuningan dan naik bau.
  2. Masukkan rempah kari. Kacau sehingga rempah masak dan garing
  3. Masukkan santan. Kacau supaya rempah dan santan sebati
  4. Apabila kuah mendidih, masukkan udang dan juga karot.
  5. Masukkan garam. Rasa masam dan masin secukupnya.
  6. Masukkan tomato. Biarkan seketika. (Jangan lama sangat sebab nanti tomato lebik dan hancur)
  7. Padamkan api.
  8. Sedia untuk dihidangkan.

Rabu, 1 Februari 2012

Nasi Goreng Sardin

Menu untuk makan malam...


Nasi Goreng Sardin

Bahan-bahannya
4 cawan nasi sejuk
1 biji bawang besar - dimayang
2 - 3 sudu besar sambal belacan
3 sudu besar pes sardin
2 biji telur
Sayur-sayuran (optional)
Minyak masak
Garam secukupnya

Cara-Cara Membuatnya
  1. Panaskan minyak. Tumis bawang besar sehingga kekuningan. 
  2. Masukkan sambal belacan. Biar sehingga pecah minyak.
  3. Masukkan pula pes sardin. Kacau sebati.
  4. Pecahkan telur. Kacau lagi. 
  5. Masukkan nasi sejuk. Balik-balikkan supaya nasi sebati dengan bahan tumisan. 
  6. Masukkan juga sayur-sayuran yang sesuai (jika ada)
  7. Letak garam secukupnya. Kacau sebati. 
  8. Apabila nasi telah masak bolehlah dipadamkan api
  9. Hidangkan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kongsi Resepi

Terdapat ralat dalam alat ini