Sudi-Sudi Ikut Saya...

Ahad, 22 April 2012

My First Coklat Lolipop

Saja-saja mencuba buat coklat sendiri.

Ini coklat paling mudah yang disediakan oleh seorang amatur macam saya. Just cairkan coklat yang dikehendaki, tuang dalam mould, tunggu beku dan sejuk, dah boleh ngap...


Coklat Lolipop
By Shikin

Bahan-Bahan
Coklat Susu Compound - saya guna jenama Berryls
Coklat Warna - Saya guna warna dan perisa oren
Coklat mould - terpulang kpd citarasa masing-masing. Ada macam-macam jenis acuan coklat dijual di kedai bakery.
Batang lolipop secukupnya


Cara-Cara
  1. Cairkan coklat menggunakan kaedah double boiler. Pastikan tiada air menitik didalam coklat.
  2. Tuangkan atau pipekan coklat kedalam mould. Kemaskan. Letak batang lolipop - jika berkenaan.
  3. Sejukkan.
  4. Keluarkan coklat daripada mould. 
  5. Bolehlah dimakan.

Khamis, 19 April 2012

Kek Kurma

Buat untuk pot luck kat tempat keje... Masa saya potong, kek tu panas lagi sebab tu ia agak berderai..
 

Kek Kurma
by Shikin 
Inspired by Shahilwa My Resepi
 
Bahan-bahan ( 10 org makan )
1 cawan kurma - buang biji
1 cawan gula pasir
4 biji telur
2 cawan tepung gandum
3/4 cawan minyak masak
1 sudu kecil soda bikarbonat
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil esen vanila
 



Cara-cara
  • blender telur dgn gula sehingga kembang, kemudian masukkan esen vanila dan seterusnya masukkan kurma.
  • didalam bekas yg lain, ayakkan tepung dgn soda + baking powder
  • masukkan bahan yg di blender ke dalam bekas tepung yg di ayak tadi.
  • masukkan minyak...dan kacau hingga sebati.
  • bakar pada suhu 150 darjah hingga masak...lebih kurang 50 minit kot.
  • boleh la makan... 

Isnin, 16 April 2012

Lengat Pisang

Intai-intai gambar dalam folder komputer, jumpalah gambar lengat pisang ni. Dah lama buat, tapi tak sempat masukkan entry kat sini. 

So, tepek resepi je lah ye sebab lengatnya dah lama habih...


Lengat Pisang
by Shikin

Bahan-Bahan
12 biji pisang awak - kalau dapat yang ranum tu lagi sedap
1 cawan tepung gandum/beras
1 cawan santan 
3/4 cawan gula pasir

Cara buat
  • Lecek pisang . (saya blend bersama gula sampai halus)
  • Masukkan santan. Kacau sebati.
  • Masukkan tepung sedikit demi sedikit. Tengoklah kalau adunan dah pekat tak perlu habiskan kesemua tepung. Kalau masih cair boleh tambah tepung sikit lagi.(sambil-sambil tu boleh lah panaskan periuk kukusan)
  • Tuang adunan kedalam loyang dan kukus selama 30-45 minit atau sampai kuih masak.
  • Sejukkan sebelum dipotong.

Ahad, 15 April 2012

Cucur Udang Dengan Kuah Kacang

Just nak post resepi ngan gambar sebab cucurnya dah lama habis. 

Minggu lepas lagi buat ni, masa FIL datang kerumah. Dia memang suka ngan cucur udang. Buat pula tak banyak mana, dalam 3 cawan tepung. Dah berebutlah pulak budak-budak tu dengan abah dan tokwannya, pulun makan cucur udang yan ummi masak.

Suami tanya "Awat buat sikit sangat??? "

"Aihh bang kalau beli mau 3,4 ringgit banyak tu. Biasa beli 2 ringgit tak habis pun" jawab saya. 

"Yang ni buat sendiri mana sama ngan beli punya." balas suami saya.

Hmmm...Apa signalnya??? Cucur udang yang ummi buat ni sedap yerrr sampai jadi rebutan.... He he... perasan habis...

Ok, jom tengok resepi kat bawah


Cucur Udang My Style

Bahan- Bahan

Untuk Cucur
2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung kastad
Udang
Taugeh
Kuchai/Daun Bawang
Tauhu - potong 2 dan goreng garing
Timun - hiris macam hirisan rojak buah
Garam dan air suam secukupnya (Buat air garam. Masin dia tu, kira bagi sedang eloklah bila dibancuh ngan tepung nanti)
Minyak untuk menggoreng

Cara buat
  • Campurkan kedua-dua jenis tepung. Tuangkan air garam. (Guna air suam bertujuan untuk melembutkan cucur)
  • Bancuh sampai tepung sebati dan tidak berketul-ketul. Kepekatan adunan tu boleh agak-agak lah ye. Jangan pekat @ cair sangat. Biar sedang-sedang jer...( Timbuk-timbuk sikit untuk menghilangkan udara dalam tepung)
  • Masukkan udang. Gaul sebati dalam adunan tepung.
  • Masukkan pula taugeh dan kucai/daun bawang. Masa ni tepung tu kaup balikkan pelan-pelan supaya taugeh tak patah-patah atau hancur.
  • Bila semua bahan dah bergaul mesra bolehlah digoreng dalam minyak yang panas dan banyak. 
  • Angkat dan hidangkan bersama kuah kacang, tauhu goreng dan timun.
*kalau cara saya, saya  goreng dengan cara melerek tepung tu di dinding kuali. Bila masak cucur akan jadi leper dan garing.
*Boleh juga dijemput dengan tangan atau pakai sudu. Ikut keselesaan masing-masinglah.


Untuk kuah kacang
1 cawan kacang tanah - goreng tanpa minyak, buang kulit dan mesin sampai hancur.
10-15 tangkai cili kering
5 ulas bawang merah
1 inci belacan
Air asam jawa 
Air putih secukupnya
Garam dan gula

Cara membuatnya
  • Basuh cili kering , bawang (dengan kulit) kemudian soreng tanpa minyak dengan belacan. Kisar dengan sedikit air sampai halus.
  • Panaskan minyak, tumis bahan-bahan kisar tadi sampai pecah minyak. Masukkan air asam jawa. Biarkan sekejap
  • Tuangkan pula kacang tanah yang telah dikisar halus. sekiranya kuah agak pekat, bolehlah tambah air putih tadi.
  • Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Kalau kurang masam boleh tambah air asam jawa. (part ni boleh lebih atau kurangkan ikut citarasa masing-masing ya)
  • Apabila kuah mendidih dan masak dengan elok, tutupkan api. 
  • Bolehlah dicicah dengan cucur udang tadi.

Khamis, 12 April 2012

Kari Ikan Jenahak

Kari ikan jenahak ni sebenarnya menu tengahari semalam. Memandangkan semalam cuti umum 1 Malaysia sempena Pertabalan Yang Di Pertuan Agung, saya masak lah special sikit untuk keluarga.

Kari special ker?? Kira special lah sebab ia adalah one of my hubby favourite...

"Sedap ker kari kin tu bang???" Hmm...en.suami makan sambil angguk-angguk...sedap lah tu kan...

Resepi kat bawah yer




Kari Ikan Jenahak
by Shikin

Bahan-Bahan

Bahan Tumis
3 ulas bawang putih - dimayang halus
4 ulas bawang merah - dimayang halus
1 sudu besar halba campur
3 tangkai daun kari - dilurut daunnya

Bahan Kisar
2 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang holand
1 sudu besar halba campur
2 bungkus rempah kari
Air asam jawa secukupnya
- Kisar semuanya sampai hancur

Bahan Lain
1 ekor Ikan Jenahak (sederhana besar)
Santan (lebih kurang RM2.00)
Air secukupnya
Sedikit minyak
Garam secukupnya
2 biji tomato
10 batang bendi

Cara Membuatnya
  • Bersihkan ikan, cuci dengan asam dan garam. Letak tepi dulu.
  • Panaskan minyak. Masukkan bahan-bahan tumis. Biar sehingga kekuningan.
  • Masukkan pula bahan-bahan kisar. Tumis sehingga garing dan pecah minyak.
  • Tuangkan pula air dan santan. Kacau sebati. Biar sampai kuahnya mendidih.
  • Apabila kuah mendidih, masukkan ikan. Kemudian masukkan bendi. 
  • Bolehlah masukkan garam secukupnya.
  • Biarkan sekejap (Agak-agak lah ikan dan bendi  tu dah masak. Jangan lama sangat takut ikan hancur)
  • Rasa asam garamnya. Kalau kurang rasa boleh ejas sendiri ikut sedap mulut masing-masing.
  • Masukkan tomato dan terus tutupkan api. (biar tomato layu dalam kuah yang panas tu)
  • Bolehlah dihidangkan.

Ahad, 8 April 2012

Lagi-Lagi Kek Coklat

Kek coklat ni sebenarnya untuk majlis akikah anak kepada sepupu saya Nafsiah. Tak letak topping bagai sebab nak memudahkan proses penghantaran. Lagipun saya potong kecik-kecik siap-siap supaya senang nak dihidangkan kepada tetamu yang datang.

Masih menggunakan resepi kek coklat yang sebelum ni, cuma kali ni tak tau kenapa kek saya ni macam malas nak naik. Dah tu tinggi rendah pulak tu permukaannya. Hmmmm...

Apa pun, kek tetap licin...


Kek Coklat Kukus Mudah
Bahan A
1 cawan gula
1 cawan sebuk koko
1 cawan minyak mazola - sebab tak de stok minyak mazola, saya pakai minyak masak seri murni jer...
1 cawan air panas
1 cawan susu pekat/susu cair/susu segar
1/2 cawan milo
1 sudu kecil nescafe (saya x letak)
3 biji telur

Bahan B
2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil soda bikarbonat
-ayak bersama 2,3x

Cara memasak..
Satukan semua bahan A hingga sebati. Masukkan bahan B. Kacau rata. Letak dalam loyang dan kukus selama 1 jam.


Khamis, 5 April 2012

Kek Batik

Dalam keterbatasan masa, mencuri ruang untuk menyediakan juadah santapan keluarga.

Menggagahkan diri, hasil godekan di atas dapur, terhasillah kek batik ni.

Kali ni guna resepi yang sedikit lain daripada biasa. Hasilnya...tetap mabeles..


Kek Batik

Bahan-Bahan
250gm butter
1 tin susu pekat
1 biji telur
Serbuk koko/coklat masakan secukupnya - saya guna coklat masakan >< 100gm
1 bungkus Biskut Marie  (patah-patahkan)

Cara-cara membuatnya
  • Panaskan kuali, masukkan butter dan biarkan mencair.
  • Masukkan pula susu pekat. Kacau sebati. 
  • Masukkan pula serbuk koko/coklat masakan. 
  • Kemudian masukkan telur.
  • Kacau sentiasa supaya adunan tidak berketul. Kacau sehingga adunan agak pekat(pastikan api perlahan supaya adunan tidak hangus)
  • Masukkan biskut marie. Kaup balikkan supaya biskut dan adunan coklat sebati.
  • Tuangkan adunan kedalam loyang.
  • Tekan-tekan dengan senduk supaya adunan mampat.
  • Sejukkan dulu di dalam peti ais sebelum dihidangkan.

Rabu, 4 April 2012

Nasi Goreng Sambal Belacan

Melayan permintaan Aiman yang nak kan nasi goreng pedas-pedas katanya. 


Nasi Goreng Sambal Belacan

Bahan-Bahan
4 cawan nasi sejuk - ramas/relaikan
2 ulas bawang putih - mayang halus
3 ulas bawang merah - mayang halus
3 sudu besar sambal belacan - boleh ejas. Tambah @ kurangkan ikut tahap kepedasan yang dikehendaki.
2 biji telur
Segenggam ikan bilis - belah dan buang perut
Sayur-sayuran
Garam secukupnya
Sedikit minyak


Cara-cara
  • Panaskan minyak.  Goreng ikan bilis sampai garing. Ketepikan.
  • Kemudian tumis bawang putih dan bawang merah sehingga berwarna keemasan.
  • Masukkan pula sambal belacan. Perlahankan api. Kacau sampai sambal tadi garing.
  • Pecahkan telur kedalam sambal, kacau rata. Masukkan garam secukup rasa.
  • Masukkan nasi. Kacau supaya nasi sebati dengan sambal.
  • Masukkan sayur-sayuran kalau ada.
  • Teruskan menggoreng sampai nasi masak. Tabur ikan bilis yang telah digoreng.
  • Padamkan api. Angkat nasi dan hidangkan.
*resepi di atas cuma sebagai panduan. kuantiti bahan-bahan boleh diubah ikut kesesuaian masing-masing .

Selasa, 3 April 2012

Kerepek Ubi Kayu

Ubi kayu ni hasil tanaman suami saya, En. Tahiri. Saya buatkan kerepek ubi untuknya dengan penuh rasa kasih sayang. 

He he...sebab lama dia duk tanya , "Ummi, ubi tu dah nak tua dah. Nak buat apa-apa ka? Saya pun jawab : abang cabutlah dulu ubi tu. nanti balik kerja kin buatla apa-apa yang patut"



Kerepek Ubi Kayu

Bahan-bahan
Ubi Kayu
Garam 
Minyak

Cara-cara membuatnya
  • Kopek kulit ubi kayu dan bersihkan.
  • Kemudian sagat ubi nipis-nipis di dalam besen yang berisi air garam.
  • Toskan ubi sekejap
  • (Boleh juga sagat ubi terus kedalam minyak yang panas dan ditabur sedikit garam )
  • Goreng ubi dalam minyak yang banyak sehingga berwarna kuning keemasan. 
  • Angkat dan toskan. 
  • Simpan dalam bekas kedap udara.

Isnin, 2 April 2012

Bihun Goreng...My Style...

Sesekali tukar menu, goreng bihun sebagai hidangan makan malam, ok la jugak kan... Siang malam asyik hadap nasik jemu juga tekak ni.

Suami dan anak-anak pun layan jer... Boleh la pulak tak makan nasik malam.

Tapi sekali sekala aje...biasanya nasik juga yang menjadi pilihan.

Jom tengok resepi simple saya


Bihun Goreng...My Style

Bahan-bahannya
1 bungkus bihun - rendam sampai lembut
3 ulas bawang besar - diketuk
5 sudu besar cili kisar
2 sudu besar cili sos
3 sudu besar sos tomato
1-2 sudu besar kicap mee
250gm sotong
Garam dan gula secukupnya
Sawi
Minyak untuk menumis

Bahan Tabur
Daun sup dan daun bawang - hiris halus
Cili Merah
Bawang Goreng
Telur rebus


Cara-cara
  • Panaskan minyak. Tumis bawang putih sampai kekuningan. Masukkan cili kisar dan masak sampai garing.
  • Masukkan kesemua jenis sos dan kicap. Kacau sebati.
  • Masukkan sotong serta garam dan gula secukupnya.
  • Masukkan pula bihun. Kacau sampai bihun sebati dengan bahan tumis. Masukkan pula sawi.
  • Teruskan menggoreng sampai bihun masak. Pastikan masin dan manisnya secukup rasa.
  • Padamkan api. Hidangkan dengan bahan-bahan tabur.
Hantar kat tok Aiman sikit...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kongsi Resepi

Terdapat ralat dalam alat ini