Masak Lemak Retak Seribu

Ha ha... Apa anda bayangkan bila baca tajuk entry di atas?? Jangan imagine yang bukan-bukan kerana resepi yang akan saya kongsikan hari ni adalah resepi biasa-biasa saja.

Anda pernah dengar nama siput retak seribu? Dia macam lala tapi lala tu spesis yang kecil sikit. Sedangkan retak seribu ni saiznya lebih besar dan kulitnya ada corak-corak macam pinggan retak . Sebab tu ia dipanggil siput retak seribu.

Retak seribu ni sedap kalau dibuat masak lemak, sweet sour ataupun goreng bersos pedas. Biasanya saya masak sweet sour, tapi untuk kali ni teringin pulak nak buat masak lemak. Bahan-bahan yang digunakan taklah banyak sangat dan cara membuatnya pun simple saja. Rasanya...hmm...tentulah sedap dan saya suka ratah-ratah saja kalau masak retak seribu ni.

Ok, jom tengok resepi kat bawah.


Masak Lemak Retak Seribu
by Shikin

Bahan-bahan
1 kg Siput Retak Seribu
2 ulas bawang putih*
3 ulas bawang merah*
1/2 labu bawang besar*
1 inci halia* (bahan-bahan bertanda * dimayang halus)
5 biji cili padi - belah dua
1 biji cili merah - potong memanjang
2 batang serai - dititik
1 sudu besar serbuk kunyit 
2 helai daun kunyit - disimpul kemas
4 cawan santan - diambil daripada 1/2 biji kelapa
Garam secukup rasa


Cara-cara
  1. Masukkan semua bahan kecuali retak seribu  kedalam periuk. Reneh dengan api perlahan sehingga mendidih. Sentiasa kacau supaya santan tidak pecah minyak.
  2. Apabila mendidih masukkan retak seribu yang telah dibersihkan. Renehkan lagi sehingga kulitnya terbuka dan isinya masak.
  3. Perisakan dengan garam secukupnya (jangan terlalu banyak kerana retak seribu selalunya mengeluarkan rasa masinnya yang tersendiri)
  4. Sedia untuk dihidangkan
P/s : Sebelum dimasak rendam dulu siput retak seribu di dalam air. Biar seketika sehingga ia mengeluarkan pasir-pasir yang ada di dalam cengkerangnya. Basuh bersih-bersih dan toskan. Selepas itu bolehlah dimasak seperti biasa.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kerepek Ubi Kayu

Rendang Daging Noxxa

Suci Dalam Debu